Menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2019 menentang Felda United di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, tahap kecergasan pemain Kedah sedikit-sebanyak mencetuskan kebimbangan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris menegaskan pemain mungkin sedikit keletihan selepas mereka menghadapi Petaling Jaya City FC dalam saingan Liga Super pada Rabu lalu.

Mohd Asmirul Anuar Aris
Sumber Gambar: Kedah FA

“Faktor kecergasan menjadi perhatian utama pasukan dan saya harap ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak dapat mengatasinya sebelum sepak mula malam Ahad ini.

“Saya juga berharap dapat melihat pemain banyak membuat hantaran dan lorongan ke depan agar dapat disudahkan dengan jaringan, walaupun ada kelemahan di situ saya yakin Kedah dapat buat jaringan dengan semangat juang yang ada,” katanya menurut laporan Utusan.

Kedah mempunyai kelebihan tipis apabila mereka hanya mencatat kemenangan 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman.

Pada masa yang sama, Asmirul turut menegaskan pemain perlu mengikut segala perancangan ketua jurulatih,Aidil Sharin dan berharap mereka mampu menyelesaikan diri dengan padan sintetik di Stadium STAR.

“Saya juga harap pemain dapat menyesuaikan diri ketika bermain di padang sintetik STAR kerana dijangka perlawanan malam itu lebih laju,” tambahnya.